On Blessings...
Seorang lelaki sedang berada di atas sebuah kapal
apabila suatu badai yang kencang melanda
kapal tersebut. Tidak lama kemudian, kapal itu
karam dan lelaki tersebut hanyut dipukul ombak yang
mengganas. Apabila lelaki itu tersedar kemudian, beliau
mendapati dirinya terdampar di tepi pantai di sebuah
pulau kecil yang tidak didiami orang. Tambahan pula,
beliau berada dalam keadaan sangat letih dan kesakitan.
Setiap hari, lelaki tersebut berdoa dengan bersungguhsungguh
kepada Allah agar beliau segera diselamatkan.
Lama-kelamaan, lelaki itu dapat membina sebuah
pondok kecil dari kayu-kayan yang dikutipnya. Pondok
yang tidak seberapa itulah tempat beliau berteduh dari
sinaran matahari dan berlindung dari hujan. Ia juga
tempat beliau menyimpan barang-barang kepunyaannya.
Malangnya, suatu hari apabila lelaki itu pulang ke
pondoknya setelah mencari makanan, beliau mendapati
pondoknya hangus dijilat api, dan asap hitam berkepul
menuju ke langit.
Hanya pondok itu sahajalah satu-satu harapannya, dan
kini ia musnah! Segala yang dimilikinya telah rentung
dan hilang dengan sekelip mata. Lelaki itu berasa
sangat marah dan hampa, hatinya juga hancur berderai.
“Ya Allah, sampai hati Engkau membuat nasibku
begini!” beliau merintih, “Setiap hari aku berdoa dan
merayu padaMu agar dikasihani, tetapi Engkau masih
mengizinkan perkara ini berlaku!”
Keesokan harinya, lelaki itu dikejutkan dari tidurnya oleh
suatu bunyi semboyan dari sebuah kapal yang sedang
menuju ke pulau itu untuk menyelamatkan beliau.
“Bagaimana kamu tahu saya berada di pulau ini?”
lelaki itu bertanya kepada anak-anak kapal yang
menyelamatkannya. “Saya sudah berbulan-bulan
meringkuk di sini tetapi sebuah kapal pun tidak pernah
mendekati pulau ini.”
“Kami ternampak isyarat asap kamu,” mereka
menjawab.
Rupa-rupanya terdapat rahmat di sebalik kebakaran
pondoknya itu tadi dan ini telah membolehkan beliau
dapat diselamatkan. Dalam kita mengharungi keperitan
dan seksaan apabila diduga oleh pelbagai perkara yang
menguji kesabaran dan iman kita, adalah amat mudah
untuk kita berasa hampa dan putus asa. Tetapi, sekiranya
pondok kecil kita musnah dijilat api, ingatlah bahawa
ia mungkin merupakan satu isyarat asap, dan mungkin
juga rahmat yang dikurniakan Tuhan
No comments:
Post a Comment